Cycle & Carriage secara rasmi telah memulakan operasi untuk menguruskan pengedaran bagi jenama Leapmotor di Malaysia, selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian bersama dalam satu majlis hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama kedua-dua pihak, langkah ini diambil memandangkan pertumbuhan pesat dalam pasaran EV di Malaysia, serta didorong oleh peningkatan penggunaan oleh pengguna, infrastruktur yang kini semakin baik serta minat yang semakin meningkat dalam penyelesaian mobiliti berteknologi tinggi.
Dengan menguruskan operasi pengedaran Leapmotor, Cycle & Carriage akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedarnya di Malaysia untuk mengembangkan penampilan Leapmotor, mengukuhkan pengalaman pelanggan dan piawaian runcit serta meningkatkan keupayaan selepas jualan di seluruh negara. Buat masa sekarang, rangkaian pengedaran Leapmotor telah berkembang kepada 12 lokasi jualan dan 6 lokasi servis di seluruh Malaysia dengan lebih banyak lagi dalam perancangan untuk dibuka menjelang akhir tahun ini.
Kerjasama antara kedua-dua pihak ini sebenarnya telah terjalin sejak 2024, di mana Cycle & Carriage telah mengembangkan jejak rangkaian Leapmotornya di seluruh Malaysia dengan lokasi termasuk di George Town, Pulau Pinang, Pavilion Bukit Jalil, Paradigm Mall Johor Bahru, dan juga pembukaan pusat 3S utama Leapmotor di Glenmarie.
“Kami berbangga untuk menandakan satu lagi peristiwa penting dalam kerjasama kami bersama Stellantis Malaysia dengan memulakan operasi pengedaran untuk Leapmotor di Malaysia. Kami percaya Malaysia sedang memasuki fasa baharu yang menarik dalam penggunaan mobiliti elektrik, dengan semakin ramai pelanggan mencari kenderaan pintar yang dipacu teknologi yang memberikan inovasi dan praktikaliti harian,” kata CEO Cycle & Carriage, Adrian Short.
“Mobiliti elektrik bukan sahaja perlu beraspirasi tinggi, malah ia juga mesti mudah diakses. Melalui Leapmotor, kami melihat potensi yang kukuh untuk membawakan pilihan EV premium bernilai tinggi dan mudah diakses kepada lebih ramai pelanggan Malaysia, disokong oleh komitmen Cycle & Carriage untuk memberikan perjalanan yang luar biasa merentasi setiap peringkat pemilikan, daripada peruncitan dan selepas jualan hinggalah sokongan pelanggan dalam jangka panjang,” tambah Adrian.
“Peranan Cycle & Carriage dalam menerajui operasi pengedaran Leapmotor di Malaysia mencerminkan perkongsian jangka panjang yang dibina atas nilai bersama, kepercayaan bersama dan komitmen kami untuk memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa. Pelantikan ini menandakan satu peristiwa penting dalam perkongsian yang terus diperkukuh dan disokong oleh kepakaran automotif yang terbukti, rangkaian peruncitan yang mantap dan pendekatan pelanggan yang diutamakan. Kami percaya bahawa Cycle & Carriage berada pada kedudukan yang baik untuk memacu fasa pertumbuhan Leapmotor seterusnya di Malaysia,” kat pengarah urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo pula.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

