Pengedar rasmi motosikal Lambretta di Malaysia, Bike Continent Sdn Bhd melancarkan model X300 Casa untuk pasaran Malaysia, namun harganya tidak didedah. Ini adalah sebuah model terhad yang dikeluarkan hanya 999 unit untuk seluruh dunia dan 99 daripadanya masuk ke Malaysia.
Kesemua X300 Casa yang tiba di negara kita sudah dijual dan mereka yang masih berminat dengannya hanya boleh membuat tawaran kepada pemilik sedia ada. Setakat yang diberitahu, tawaran tertinggi yang diterima setakat ini adalah RM48,000 untuk sebuah motosikal.
Nama Casa ini datang daripada Casa Lambretta/House of Lambretta, iaitu cabang ubah suai, talaan serta perlumbaan rasmi Lambretta, dengan X300 Casa ini menggunakan asas daripada X300 dan ditambah baik dengan beberapa barangan.
Antaranya adalah termasuk kit aero gentian karbon yang terdiri daripada penghadang angin atas lampu, spoiler serta pelindung lengan suspensi, grafik inspirasi lumba dengan logo timbul, tempat duduk sport, plat nombor keluaran serta tayar Pirelli Angel Scooter.
Lambretta X300 dipacu oleh enjin penyejukan cecair satu silinder 275 cc, digabungkan dengan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.1 hp pada 8,250 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,250 rpm. Tangki minyak menyediakan kapasiti 7.5 liter.
Kelengkapan lain X300 adalah termasuk meter TFT, brek cakera hadapan dan belakang, dua penyerap hentak depan dan belakang, sistem ABS serta rim 12 inci yang dibalut tayar masing-masing 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
